Halaman

Jumaat, 15 Oktober 2010

Tempat-Tempat Menarik Di Kedah

Gunung Jerai menjanjikan lokasi percutian menarik dengan keindahan bunga, deruan air terjun dan persekitaran nyaman

JIKA anda ingin menikmati kelainan termasuk melihat bunga mangkuk beruk dan bunga kembang tiga bulan serta menghirup udara segar, bertandanglah bersama keluarga ke puncak Gunung Jerai, destinasi peranginan terkenal di Kedah.

Sambil mata menikmati keindahan alam semula jadi, telinga anda akan dijamu pelbagai bunyi unggas dan serangga hutan serta kicauan merdu sang burung yang girang hidup di hutan rimba.

Gunung Jerai di daerah Yan, Kedah adalah gunung tertinggi di utara Semenanjung. Di puncak gunung itu pelbagai kemudahan disediakan oleh Kedah Resort Sdn Bhd, termasuk 30 unit chalet dan bilik penginapan dengan bayaran antara RM40 dan RM110 semalam.

Persekitaran kawasan chalet seluas kira-kira empat hektar itu dihiasi dengan landskap menarik dan diserikan pelbagai bunga berwarna warni, manakala mereka yang gemar mandi air terjun pula boleh menikmati kedinginan anak sungai yang melimpah dari puncak gunung itu.

Chalet yang diperbuat daripada kayu dengan reka bentuk kolonial pernah dijadikan rumah rehat ketika pemerintahan British dulu, kini menjadi tarikan bagi mereka yang meminati seni bina berkenaan. Pengunjung dapat berehat menenangkan fikiran sambil menghirup udara gunung yang tidak tercemar sambil melihat keindahan kawasan sawah padi yang terbentang luas saujana mata memandang dari aras yang tinggi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan