Halaman

Isnin, 25 Oktober 2010

Kapal Portugis kurun ke-16 ditemui di Melaka

Penemuan itu juga bakal mencatat sejarah sebagai kapal Eropah tertua yang ditemui di perairan negara.
Berdasarkan penelitian awal ke atas beberapa artifak, seperti meriam gangsa dan peluru yang ditemui 32 meter di bawah permukaan laut, kapal itu dipercayai diperintah Admiral Coutinho.
Kapal itu dikatakan tenggelam selepas bilik peledaknya meletup ketika bertempur dengan tentera Aceh yang menyerang Melaka di bawah kuasa Portugis pada 1583.
Difahamkan, Jabatan Warisan Negara dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) meninjau lokasi penemuan kapal itu hari ini sebelum membuat perancangan mengeluarkan artifaknya.
Pasukan itu dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Prof Datuk Dr Zuraina Majid, ketika dihubungi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Perzim mengeluarkan artifak itu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dijangka membuat pengumuman mengenainya.
Rangka kapal itu dikatakan ditemui seorang penyelidik, Dr Micheal Flecker, yang membuat penyelaman pada 2005 tetapi penemuan itu hanya didedahkan dalam artikel terbitan Majalah Heritage Asia keluaran Januari-Mac ini.
Ekspedisi itu turut disertai Jabatan Arkeologi Maritim yang ketika itu di bawah Jabatan Muzium dan Antikuiti. Sebelum ini, kapal perang portugis, Flor de La Mar, pernah ditemui di perairan Indonesia.
Flecker dalam artikelnya, yakin kapal perang itu milik Portugis berdasarkan penemuan meriam gangsa sepanjang 2.3 meter yang mempunyai gegelang pengangkat serta simbol bulat.
Beliau berkata, simbol pada meriam itu hanya digunakan orang Portugis dan kerja eskavasi menyeluruh dapat memberi bukti tambahan mengenai identiti kapal berkenaan.
Katanya, dua lagi rangka kapal karam turut ditemui berdekatan satu sama lain, tetapi tanpa banyak tinggalan artifak kecuali peluru meriam dan serpihan tembikar.
Kedua-duanya juga kemungkinan besar kapal Portugis yang dipercayai pernah digunakan pada abad ke-16 dan awal abad ke-17.
Flecker berkata, setakat ini hanya kerja awal arkeologi maritim dilakukan di ketiga-tiga lokasi berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan